06 Mac 2010

TIGA PERHITUNGAN

Dalam membuat penilaian untuk berserah kepada Allah (tawakkal) terhadap segala urusan, kita hendaklah menfokuskan keimanan terhadap qadha & qadar itu dengan tiga perhitungan sebagai garis panduan mukmin.

1.    Syariat

Merupakan satu ketetapan undang-undang (hukum alam @ sunnatullah), peraturan malah termasuk ilmu pengetahuan yang bersangkutan dengannya disamping apa yang dinamakan beberapa perkara yang disuruh dan dilarang oleh Tuhan atau pihak yang berkuasa terhadap orang ramai. Ringkasnya Syariat diibaratkan persoalan rupa dan apakah cara-cara melakukannya.

2.    Tariqat

Pada bahasa ia bermakna jalan tapi apa yang dikehendaki dengan maksudnya ialah amalan-amalan dalam kontek perlaksanaan undang-undang atau hukuman Syariat itu sendiri secara yang lebih luas dan terperinci. Di sinilah terletaknya peranan dan tanggungjawab atau bidang ikhtiar atau daya usaha insan dalam mengisikan nilai-nilai dan kemampuan yang sanggup dilaksanakan berdasar kepada kekuatan perlaksanaan serta penyelenggaraannya menurut kuasa dan daya akal sedar yang maksima. Jelasnya Tariqat merupakan bagaimanakah menanganinya dengan cara yang betul.

3.    Hakikat

Pada bahasanya ia bermakna satu kebenaran tapi dalam kontek ini ia dimaksudkan suatu hasil atau kepastian dari Tuhan natijah dari amalan seseorang hambanya samada ianya berhasil atau gagal berdasarkan daya ikhtiar insane untuk memperolehi sebarang tujuan atau natijahnya. Peranan-peranan ini (Syariat, Tariqat dan Hakikat sebagai tiga garis perhitungan bersepadu) amat kuat dan ada hubungkait yang sangat erat dengan keimanan terdapat qadha dan qadar sebagai kepercayaan kepada rukun iman lantaran seandai ia cucuk dengan kehendak Allah, nescaya terhasil apa yang dihajati dan andaikata sebaliknya adalah gagal atau kecundang (lihat Kitab Akidah Mukmin - Syed Sabiq).
Alasan dan Huraian

Kenapa kita dikehendaki berpegang dengan ketiga-tiga garis perhitungan tersebut sebagai insan mukmin dari aspek akidah Islamiah? Jawabnya jika kita berpegang dengan perhitungan syariat atau tariqat sahaja, tanpa prihatin terhadap hakikat sebagaimana perhitungan golongan Muktazilah atau mazhab Qadariah, nescaya melahirkan rasa cemas, gelisah atau kecewa lantaran tidak arif dengan urusan ketetapan Allah s.w.t sebab kehendaknya mengatasi segala perancangan hambanya. Akan tetapi jika kita berpegang dengan ketiga-tiga perhitungan ini, nescaya sempurnalah penyelesaiannya sebagai kehambaan mukallaf terhadap yang maha berkuasa lantaran manusia hanya boleh merancang tetapi Tuhan yang menjadi perancang.

Apa lagi jika si hamba hanya berpegang kepada hakikat sahaja tanpa syariat dan hakikat, akibatnya sia-sia (hampa) lantaran peranan keikhtiarannya lesu dan lemah sedangkan ia merupakan suatu jalan keupayaan yang terkuat bagi mendapatkan natijah atau maksudnya. Lantaran itu hendaklah dipegang teguh dengan tiga garis perhitungan tersebut agar hasilnya menjadi sempurna.

Tegasnya bila mana dilakukan dengan peraturan yang telah digariskan jalannya dengan jelas sebagai syariat dan tariqat lalu menyerahkan urusan kepada Allah (tawakkal) serta berdoa kepadaNya untuk menghasilkan maksud atau tujuan yang diniatkan nescaya sempurnalah matlamat setiap perlaksanaan. Andainya tercapai hajat perlulah bersyukur atas nikmat Allah tetapi jika sebaliknya sedangkan kita telahpun berbuat dengan segala peraturan dan syarat-syaratnya maka kita hendaklah bertafakur dan berusaha lagi dengan cara yang berbeza dan jangan putus asa. 

Tiada ulasan: