Perutusan Pengerusi

Wan Shamshol bin Husin

Assalamualaikum w.b.r

Muslimin dan muslimat yang dikasihi dan dihormati sekalian,

Saya merasakan bahawa Surau Al-Muhajirin KKKA Jalan U-Thant ini telah dapat berfungsi dengan baik dan berkesan sebagai medan da’wah, pusat ilmu, pentas jalinan ukhwah dan tempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang banyak memberi faedah kepada jemaah dan warga kuarters amnya. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kerana dari kesinambungan dan peningkatan aktiviti surau dari setahun ke setahun. Kejayaan ini adalah kerana usaha gigih dan komitmen berterusan oleh jemaah serta peranan yang dimainkan oleh Ahli Jawatankuasa sekelian. Kesepakatan dan perancangan yang rapi ini membolehkan surau ini dapat berfungsi dengan jayanya.

Usia surau ini terlalu muda, namun aktif di dalam penganjuran program dan akitiviti keagamaan dan kemasyarakatan. Oleh itu diharapkan agar program dan aktiviti tahun lalu dan tahun mendatang dapat diteruskan. Namun begitu adalah diharapkan agar aktiviti-aktivitinya dapat ditambah ataupun dipertingkatkan lagi. Seterusnya dapat menyumbang ke arah kebaikan dan manfaat bersama kepada ahli-ahli Jemaah. Sumbangan-sumbangan bantuan pertolongan kepada ahli-ahli dalam hal-hal penganjuran perkahwinan, aqiqah dan pelbagai aktiviti gotong royong adalah penerusan yang baik serta dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung di samping merapatkan ikatan silaturrahim.

Ahli-ahli Jemaah surau secara tidak langsung telah juga mendapat manfaat sampingan melalui program kuliah Maghrib dan Suboh. Seterusnya program penghayatan Ramadan, majlis berbuka puasa, kaunter bayaran fitrah, sambutan Eidul Fitri, meraikan bakal jemaah haji dan lain-lain lagi. Pihak surau juga telah mengambil inisiatif untuk mengelolakan ceramah-ceramah mengikut kalendar Islam seperti Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Israk Mikraj dan lain-lain. Termasuklah urusan menjemput penceramah, menentukan jadual, tajuk dan penyediaan jamuan. Syabas diucapkan kepada mereka-mereka yang telahpun berusaha bagi menjayakannya.

Kepada warga kuarters KKKA Jalan U-Thant dan penduduk di sekitar Desa Pandan saya menyeru supaya datanglah ke surau Al-Muhajirin untuk mendengar kuliah maghrib dan suboh yang merupakan makanan rohani untuk pembaikan akhlak dan sahsiah diri di samping ceramah khas yang dianjurkan. Pengisian rohani dan solat berjemaah amat penting bagi membentuk warga kuarters yang beriman, soleh dan bertakwa.

Kehadiran jemaah adalah menggalakkan dan perlu dipertingkatkan lagi bilangannya memandangkan kedudukan surau yang amat dekat dan selesa dari unit kuarters. Sebarang usaha yang difikirkan baik bagi meningkatkan lagi aktiviti surau adalah amat dialu-alukan. Peranan yang dimainkan oleh surau ini dirasakan amatlah bermakna sekali. Diharapkan agar dapat dimantapkan lagi aktiviti yang sedia ada dan juga yang akan ditambah kelak.

Di samping itu ahli-ahli jemaah surau ini hendaklah terus mengukuhkan perpaduan dan semangat persaudaraan. Saling bertolong bantu dalam perkara-perkara kebaikan serta berusaha untuk menjauhi segala keburukan. Cabaran dan isu-isu yang mutakhir memerlukan jiwa yang mantap untuk mengetahui hikmah di sebaliknya. Bersama-samalah kita terus istiqomah dalam berjemaah, sentiasa berlapang dada dengan hati yang ikhlas. Manakala jauhilah perpecahan dan persengketaan boleh melemah dan merosakkan ummah. Sumbangan idea yang bernas, tenaga, kewangan dan lain-lain dirasakan akan mampu memantapkan surau amatlah dialu-alukan dan seterusnya dapat dikembangkan lagi untuk manfaat kepada warga kuarters.

Sekian, terima kasih
Wassalam

TUAN WAN SHAMSHOL BIN HUSIN
Pengerusi
Surau Al-Muhajirin Kompleks Kediaman Kakitangan Awam Jalan U-Thant
No. 40 Jalan Desa Pandan
55100 Kuala Lumpur