13 Mac 2010

MUKMIN TIDAK KEKAL DI DALAM NERAKA

Diceritakan dalam hadis sahih bahawa orang mukmin itu tidak akan dikekalkan oleh Allah Ta'ala ada di neraka dan yang sedemikian itu memang merupakan kerahmatan Allah kepadanya. Jadi jelasnya, apabila ada seorang mukmin mengerjakan sesuatu dosa besar dan belum ditebus dengan hukuman sewaktu dia berada di dunia,baik berupa had, rejam, kifarah dan lain-lain, dan pula tidak pernah melakukan taubat nasuha iaitu merasa amat menyesal dan berniat hendak meninggalkannya untuk selama-lamanya dan pula tidak pernah terkena bahaya atau musibah, baik berupa sakit atau apa saja dianggap tebusan dosa besarnya tadi, pada hal sudah semestinya bahawa orang tersebut pasti akan dihisab oleh Allah Ta'ala segala amal perbuatannya. Jadi Allah akan mengadakan timbangan di mizan terhadap semua amal-amal soleh yang pernah dilakukan oleh orang tadi dan antara semua kemaksiatan-kemaksiatannya yang belum ditaubati. Jikalau kebaikannya lebih banyak, maka sudah tentu masuk ke dalam syurga, demikian pula jikalau antara kebajikan dan keburukannya itu sama, maka Insa Allah orang itu akan memperolehi rahmatNya sehingga semua keburukannya diampunkan olehNya dan akhirnya dapatlah dia masuk syurga. Tentang penimbangan amal itu telah difirmankan oleh Allah s.w.t sebagai berikut:


وَنَضَعُ ٱلۡمَوَٲزِينَ ٱلۡقِسۡطَ لِيَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ فَلَا تُظۡلَمُ نَفۡسٌ۬ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَإِن ڪَانَ مِثۡقَالَ حَبَّةٍ۬ مِّنۡ خَرۡدَلٍ أَتَيۡنَا بِہَا‌ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَـٰسِبِينَ

(سُوۡرَةُ الاٴنبیَاء - ٤٧ )

Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung. (47)
Adapun sekiranya keburukannya itu lebih banyak daripada kebaikannya, maka Allah s.w.t tidak mengurniakan pengampunan padanya, maka sudah pastilah bahawa dia akan dimasukkan ke dalam neraka untuk sementara waktu, mengikut besar kecilnya atau berat ringannya dosa yang dilakukan. Jikalau dianggap oleh Allah sudah cukup dia menjalani hukumannya, maka dimasukkanlah dia dalam golongan manusia-manusia yang telah suci dari segala dosa dan sejak saat itulah dia akan diangkat dari neraka dan selanjutnya dimasukkanlah dia ke dalam syurga untuk selama-lamanya yakni kekal di situ sebab sekali masuk syurga pasti akan kekal.

Demikian sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Ahli syurga masuk ke dalam syurga dan ahli neraka masuk ke dalam neraka. Kemudian Allah s.w.t berfirman kepada malaikat-malaikat penjaga neraka: "Keluarkanlah olehmu semua, setiap orang yang di dalam kalbunya ada benih keimanan sekalipun hanya seberat biji sawi". Orang-orang yang beriman itu lalu keluar dari neraka dan tubuhnya sudah hangus hitam sama sekali. Mereka selanjutnya dimasukkan ke dalam Sungai Hayat atau Kehidupan, lalu tumbuhlah badannya itu (menjadi manusia yang baik dan sempurna) sebagaimana tumbuhnya biji yang terbawaoleh banjir. Tidakkah engkau melihat biji itu yang kemudiannya lalu tumbuh kuning dan membelok-belok".

Diceritakan pula dari Anas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Keluar dari neraka setiap orang yang mengucapkan La Ilaaha Illallah dan di dalam hatinya ada kebaikan seberat gandum, juga kelaur dari neraka orang yang mengucapkan La Ilaaha Illallah dan dalam hatinya ada kebaikan seberat semut sekalipun".
(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Tiada ulasan: