23 Mac 2010

BEZANYA MUKMIN DAN ORANG KAFIR DI SAAT MENGHADAPI MATI

Saat ketibaan ajal bagi orang mukmin dan orang kafir itu amatlah berbeza. Perbezaan itu telahpun dijelaskan dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. Manakala roh orang mukmin hendak keluar, maka datanglah malaikat Malakul Maut memberi salam: "Selamat sejahtera atasmu, wahai wali Allah". Sesungguhnya Allah memberi salam kepadamu, kemudian dia pun membaca ayat surah An-Nahl (Ayat 32):

ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّٮٰهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ طَيِّبِينَ‌ۙ يَقُولُونَ سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُمُ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ 

Maksudnya: "(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan."(32)

Berkata Ibnu Mas'ud r.a: "Apabila datang Malakul Maut untuk mengambil nyawa orang mukmin, dia berkata kepadanya: Tuhanmu memberi salam kepadamu." Al-Barra bin Azib pula berkata mengenai firman Allah dalam surah Al-Ahzab (Ayat-4) yang bermaksud: "Penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui Allah ialah "salam". Ini adalah salam Malakul Maut kepada orang mukmin yang hendak dicabut nyawanya itu. Tidak dicabut nyawa seorang mukmin itu sehinggalah dia disentosakan daripada seksa dengan salam ke atasnya. Telah meriwayatkan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih, sebuah hadis marfu: "Lalu hadirlah para malaikat ketika naik nyawa seorang hamba. Jika dia seorang yang soleh, maka berkatalah para malaikat itu: "Keluarlah wahai jiwa yang tenang yang ada dalam tubuh yang baik, keluarlah di dalam keadaan terpuji, serta bergembiralah dengan rauh (kesenangan) dan raihan (bau yang harum), dan Tuhan pula redha kepadamu tiada murka". Maka (ucapan ini) sentiasalah diulang sehinggasampai dia ke langit. Lalu dibuka baginya tujuh pintu petala langit sehingga sampai pula dia ke hadrat Allah Yang Maha Kuat lagi Maha Besar".

Sekiranya hamba itu seorang yang jahat yakni ahli maksiat, akan dikatakan kepadanya: "Keluarlah engkau, wahai jiwa yang kotor, yang berada dalam tubuh yang jahat, keluarlah dengan keadaanmu yang keji, dan rasakanlah dengan keadaan yang sangat panas dan keadaan yang sangat sejuk yang busuk tiada bandingannya". Maka sentiasalah diulang-ulang (ucapan itu) sehingga nyawa keluar. Kemudian iapun naik ke langit, minta dibukakan pintu langit baginya. Ditanya: "Siapakah itu?" Dijawab: "Sipolan". Lalu dikatakan: "Tiada tempat bagi jiwa yang kotor, yang duduk pada tubuh yang kotor. Baliklah engkau!". Maka tiadalah dibukakan pintu langit baginya. Dari langit dia dicampak ke kuburnya. Adapun orang kafir pula, apabila keluar nyawanya, berkatalah isi langit: "Ini roh yang jahatdan kotor datang dari bumi. Lalu dikatakan: Bawalah oleh kamu sehingga akhir waktu". Sebuah hadis marfu' berbunyi, maksudnya: "Sesiapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah pun suka berjumpa dengannya. Dan sesiapa benci berjumpa dengan Allah, maka Allah pun benci berjumpa dengannya". H.R Syaikhan.

Lalu berkata Aisyah, maksudnya: "Adapun mati itu memanglah kita semua membencinya". Maka bersabda Rasulullah s.a.w: "Bukan begitu, tetapi orang mukmin apabila maut mendatanginya, dia digembirakan dengan redha Allah serta kemurahanNya. (Menjadikan) tidak ada sesuatu yang lebih disukainya daripada apa yang ada di hadapannya. Maka sukalah dia menemui Allah, dan Allah pula suka menemuinya. Sementara orang kafir, apabila maut mendatanginya, dia dikhabarkan dengan seksa Allah dan deraNya. (Menjadikan) tidak ada sesuatu yang lebih dibencinya daripada apa yang ada di hadapannya. Maka bencilah dia menemui Allah, dan Allah jua benci menemuinya".

Di saat seseorang menemui ajalnya Nabi s.a.w ada menerangkan beberapa ketandaan yang menunjukkan matinya hamba Allah dalam berbahagia. Demikinalah jua sebaliknya buat keinsafan orang yang beriman dalam membina nilai-nilai taqwa.

Tanda-tanda zahir yang baik bagi seseorang ketika menghadapi kematian ada disebut dalam beberapa hadis Nabi s.a.w. Ia merujuk kepada adanya rahmat Allah s.w.t sedang berlaku, yang sekaligus juga menunjukkan, bahawa orang yang sedang menghadapi sakaratul maut itu adalah orang beriman, dan begitu jugalah sebaliknya, di antaranya dari Salman Al-Farisi katanya: "Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Perhatikan oleh kamu seseorang ketika menghadapi kematiannya pada tiga petanda: (Pertama) jika dahinya berpeluh, (kedua) matanya mengeluarkan air mata dan (ketiga) hidungnya membengkak, yang demikian itu menunjukkan rahmat daripada Allah turun kepadanya. Jika dia mendengkur dengan dengkuran anak unta yang terjerut lehernya, wajahnya hitam kelamdan mengeluarkan buih pada tepi mulutnya, yang demikian itu menunjukkan azab daripada Allah menimpanya". Daripada Buraidah bahawa Nabi s.a.w bersabda maksudnya: "Seorang mukmin itu meninggal dunia dengan peluh di dahi".

Dan daripada Ibnu Mas'ud katanya: "Sesungguhnya seorang mukmin akan terus memiliki kesalahan antara kesalahan-kesalahan yang pernah dibuatnya, yang akan ditebus ketika kematiannya, lalu (pada masa itu) dahinya pun memancutkan peluh". Berkata sesetengah ulama: "Keluar peluh dari dahi mayat (dimaksudkan orang yang hendak meninggal) ialah kerana rasa malunya terhadap TuhanNya di atas maksiat yang pernah dilakukannya. Adapun tubuh bahagian bawah telahpun mati, tinggal sisa kekuatan masih ada pada tubuh di bahagian atas, dan rasa malu itu berada pada kedua belah matanya. Sedangkan orang kafir adalah buta terhadap semua itu, kerana terlampau sibuk dengan azab yang dialaminya.

Diriwayatkan daripada Al-Qamah, bahawa beliau itu pernah mendatangi anak saudaranya yang meninggal dunia, yang ternyata dahinya mengeluarkan peluh. Dia pun ketawa. Orang bertanya: "Mengapakah engkau ketawa?". Al-Qamah menjawab: "Saya pernah mendengar Ibnu Mas'ud berkata: Sesungguhnya nyawa seorang mukmin itu keluar disertai dengan cucuran peluh, sementara nyawa seorang kafir atau orang jahat keluar, disertai buih dari bibirnya, seperti keluarnya nyawa keldai. Sesungguhnya orang mukmin itu mungkin sahaja pernah melakukan amal buruk (dosa), kerana itu, dia akan dipayahkan ketika menghadapi kematian sebagai tebusan atas dosanya. Sementara orang kafir atau orang jahat mungkin sahaja pernah melakukan amal buruk (dosa), kerana itu, dia akan dipayahkan ketika menghadapi kematian sebagai tebusan atas dosanya. Sementara orang kafir atau orang jahat mungkin sahaja pernah melakukan amal baik (kebajikan), kerana itu, dia akan dimudahkan ketika menghadapi kematian sebagai tebusan di atas kebaikannya itu". Demikian, selebihnya itu hanya Allah jua yang lebihberhak mengetahuinya, selaku: (Tafsirnya): "Yang menjadikan kematian dan kehidupan." - (Al-Mulk).

RENTETAN

1.   Alangkah gembiranya hati manakala mukmin dipanggilkan denga Wali Allah ketika menemui ajal. Hakikat in perlu kita perhatikan bagaimana permohonan ketika Qunut Subuh yang mana diajarkan: Watawallani Fiiman justeru biar kita bertekad agar mencapai ke taraf itu.

2.    Dalam mengingatkan ketibaan ajal ada hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan (maksud): "Hindarilah dari dosa agar matimu kelak tidak terseksa!". Lantaran itu pola-pola amal salih hendaklah kita prihatin sekaligus berakhlak mulia.

3.    Kita perlu melazimkan doa agar Tuhan melimpahkan rahmatNya di saat meninggal dunia justeru itu kita hendaklah gigih dalam beribadat di samping banyak membaca surah-surah Al-Quran yang menerangkan hal-hal yang membawa kerahmatan Ilahi dan restunya di kala sampai ajal khasnya Suratul Mulk.

4.    Dunia ini sebagai pulau singgah, jangan kita terpesona dan melupakan janji Allah dan pembalasan akhirat.Kematian adalah jambatan ke sana. Jangan dilupakannya.

Tiada ulasan: