07 Mac 2010

FALSAFAH HIDUP BERKELUARGA

Sebagaimana rukunnya kehidupan berkeluarga yang (bermula dari Ijab Kabul pasangan suami isteri) berdasarkan falsafah Islam ada 5 pembinaan:

1.    Membina Kesempurnaan Peribadi

Diri kita selaku peribadi hendaklah disempurnakan dengan nilai-nilai yang matang dari aspek minda, spiritual dan fizikal. Kesepadanan darinya dapat menelurkan kerjaya. Dalam kontek ini Sayyidina Ali menegaskan: "Setiap diri pasti gagal tanpa menangani 4 delima"

      a.    Keras hati
      b.    Terburu-buru dalam bertindak
      c.    Tanpa memikirkan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat
      d.    Merasa diri serba tahu
Mafhum dari sini untuk berjaya hendaklah setiap orang prihatin dengan 4 ciri yang berperanan dengan potensi nilai:

      a.    Lembut hati, iaitu mempunyai sikap yang terbuka atau lapang dada serta berjiwa besar. Tegasnya bersedia untuk mengubah kesilapan (pastilah hakikat ini sukar dibentuk kiranya hati menjadi keras). Hati mudah lembut bila berilmu dan beramal dengan kerja-kerja kebajikan.

      b.    Berhati-hati (dalam ertikata berbuat dengan teliti atau cermat). Tindakan yang sopan dan penuh nikmat atau secara psikologi adalah cara paling berkesan bagi melahirkan suasana harmoni. Sesiapa yang mampu menjernihkan keadaan yang keruh sehingga menjadi hening menampakkan orang yang bijaksana.

      c.    Punya pemikiran yang mendalam dan tajam pandangan sehingga dapat menjangkau masa hadapan, adalah suatu ciri kebesaran peribadi. Inilah ciri-ciri yang disebutkan dalam hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: "Bertuahlah mana-mana kamu kiranya mendapat calon isteri (juga suami) yang jujur, menawan dan pintar (lalu baginda menjelaskan hikmatnya) lantaran di belakangmu dia beramanah, kalau kamu memandangnya nescaya tertawan dan bila kamu bermasalah nescaya dia dapat menyelesaikannya".

      d.    Prihatin dengan mesyuarat dan sukakan sikap kritis, tegasnya berpandangan radikal lantaran dia berfikir dengan seribu kepala dan bertindak dengan sejuta tenaga. Dengan ertikata lain dia tidak bersifat ego.

2.    Berjaya memilih pasangan.  Pasangan yang dipilih (suami atau isteri) hendaklah yang benar-benar sehaluan persis aur dengan tebing. Tanpa sefahaman sukar mencapai keberkatan. Dalam kontek ini khidmat pakar pemilih jodoh  amat perlu diambilkira dalam menjamin tegaknya keharmonian antara dua jenis insane itu macam telaga bawah bukit. Tanpanya bagai mendukung biawak hidup.

3.    Berjaya menegakkan kesentosaan rumahtangga (rumahku syurgaku). Sehubungan dengan Nabi S.A.W ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Antara faktor utama yang membahagiakan sesebuah keluarga hendaklah suami isteri itu sendiri perlu proaktif, punya rumah yang luas disamping memiliki kenderaan yang selesa dan mendapat jiran tetangga yang budiman".

Suami isteri hendaklah mengamalkan sikap :

        Saling faham memahami
        Saling hormat menghormati
        Saling bekerjasama

Peranan psikologi amat bertenaga dalam aspek pembinaan.

4.    Berjaya mendidik anak-anak. Kejayaan dalam mendidik anak-anak banyak bergantung kepada 3 faktor utama:

       a.    Faktor kepintaran ibubapa sendiri. Ia sebenarnya bergantuing atas keperibadian pendidiknya yang pada hakikatnya berbakat disamping punya sifat takwa setidak-tidaknya, adalah lantaran dapat memenuhi makna harfiah ibubapa dan suami isteri iaitu:

              I       sebagai Iman
              B      sebagai Bakti
              U      sebagai Usaha

        Sedangkan:

              B      sebagai Bakti  
              A      sebagai Aktual
              P      sebagai Prihatin
              A      sebagai Amanah

         Demikian juga secara harfiah selaku suami isteri itu sendiri, pun bermakna:

                  S       sebagai Setia
               U      sebagai Usaha
               A      sebagai Amanah
               M      sebagai Memerintah
                     sebagai Iman 

           Adapun maknanya:

               I       sebagai Iman
               S      sebagai Setia
               T      sebagai Taat
               E       sebagai Emak
               R       sebagai Rela (Redha)
               I        sebagai Inisiatif

        Tanpa ciri-ciri tersebut harapan untuk mencapai kejayaan anak-anak menjadi terbengkalai lantaran lemah dan lesunya apa yang dikatakan kepimpinan melalui teladan, tegal si ketam tak dapat menyuruh anaknya berjalan betul.

       b.    Faktor kelembutan hati anak-anak.

             Anak-anak yang sememangnya berwatak luhur amat senang dididik persis benih yang baik justeru kapan ditanam suburlah ia. Di sinilah perlunya dalam mengawasi peranan baqa dan keturunan terutama dari nilai permantauan akal dan spiritual dari kedua pihak suami isteri.

        c.     Faktor Alamiah

               Yakni peranan persekitaran memang penting dalam mencorakkan budaya pemikiran zuriat dek pengaruhnya berbisa disamping faktor kesihatan, sosial, ekonomi dan politik.

5.      Zuriat yang berperanan di tengah masyarakat.

Selaku generasi penerus maka zuriat yang dilahirkan itu besar sekali maknanya dalam penglibatan mereka di tengah masyarakat. Maka ibubapa akan berbangga apabila hidup mereka menabur jasa yang pada hakikatnya adalah berkat dari perkongsian hidup berumahtangga.

Dan mereka gagal kiranya anak-anak yang lahir itu mencemarkan nama dengan melakukan kerja-kerja yang hina dan terkutuk sebagaiman kata peribahasa, "Pada hidup bercerminkan bangkai lebih baik mati bergalang tanah". Seperti anak-anak penagih dadah, terlibat dengan maksiat, menjadi peragut dan apalagi selaku biang keladi di tengah masyarakat.

Tiada ulasan: