08 Mac 2010

KEBERKATAN DARI SEDEKAH

Tersebut dalam sebuah hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Bukhari maksudnya: "Sesiapa yang membuangkan sesuatu yang menyusahkan orang ramai di tempat lalu lalang, maka Allah memperhitungkannya sebagai suatu amalan kebajikan, dapatlah dia memasuki syurga".

Demikianlah, mulianya suatu sumbangan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang disisi Allah hatta dengan membuangkan sampah sarap atau kayu, batu yang menghalang dan menyusahkan orang yang mahu lalu-lalang di jalanraya, itupun dipandang suatu penghargaan iaitu ianya merupakan Pola kebajikan. Hadis ini menyebutkan mana-mana kebajikan yang diterima oleh Allah adalah merupakan jaminan untuk memasuki syurgaNya.
Sebenarnya, nilai-nilai kebajikan itu amatlah dihargai oleh pengajaran Islam sehingga pada zaman Nabi S.A.W ada seorang perempuan tua yang selalu berkhidmat dalam konteks spiritual dengan menjaga kebersihan masjid Nabawi, maka tatkala perempuan itu mati sesudah beberapa waktu, Nabi S.A.W mengadakan solat ghaib buatnya sebagaimana yang tersebut dalam kitab Bulughul Maram.
Mafhum dari sini, setiap nilai kebajikan tidak dipandang enteng, hatta lantaran itu apa jua kebaikan yang dapat disumbangkan oleh individu mengikut kemampuan masing-masing hendaklah disedekahkan pada jalan-jalan yang dapat mencapai keredhaan Allah sebab kehadiran kita - insan mukallaf di hayat keduniaan ini adalah untuk menjunjung amanahNya "Tuhan yang menciptakan mati dan hidup buat menguji akan kamu siapakah di antara kamu yang terbaik berbuat amalan" maksud ayat 2 Surah Al-Mulk.

Dalam amalan secara lisan pula, seumpama zikir dan doa, adalah suatu pola ibadat yang bermakna dengan syarat apa yang diucapkan itu dengan ikhlas hatta dengan memperbanyakkan istighfar kepada Tuhan lantaran mengakui kelemahan diri, pun Tuhan amat merestuinya "Sesiapa yang memperbanyakkan istighfar nescaya Tuhan menjadikan bagi dirinya apa yang dukacita itu sebagai suatu kesukaan dan yang mana kesempitan sebagai kelapangan bahkan akan direzekikannya dari sumber pendapatan yang tidak disangka-sangkakan dari mana datangnya". Demikianlah Nabi S.A.W bersabda sebagai memperingatkan kepada sesiapa yang setia mengikut ajaranNya.

Walhasilnya dalam mencapai kenikmatan hidup ini hendaklah kita perlu memperbanyakkan sumbangan dalam apa jua vitalitinya yang mana amalan sedekah memanglah banyak atau luas pula skopnya di mana ianya adalah termasuk dalam ciri-ciri taqwa.

Hakikat dari persedekahan itu adalah sebagai membuktikan kesyukuran atas nikmat Allah yang mana bila kita tunaikannya nesacya peranan kita itu mendapat perhatian dariNya bahaw kita adalah benar-benar menjunjung janji setia ubudiyah justeru kita dikurniakan rezeki yang semakin bertambah di dalam pelbagai aspek. Ini diperhujahkan dengan nas Qathi "Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu, kiranya kamu bersyukur tentulah Aku akan memberikan kurniaan yang lebih banyak lagi, tetapi kiranya kamu tidak bersyukur (kufur) sesungguhnya seksaanKu teramat keras" Surah Ibrahim - Ayat 7.

Maknanya jika kita bersyukur kepada Allah atas nikmatNya nescaya ia akan bertambah dengan menjadi lebih sempurna persis pokok yang subur rendang dan berbuah dengan lebat, tentulah akan menjadi kesayangan tuannya.

Atau dengan ibarat yang lain seumpama pemain bola yang dapat menunjukkan mutu permainan yang cekap dan tangkas maka sudah pastilah ia menjadi minat para penonton untuk melihat persembahannya tetapi andaikata dia tidak dapat bermain dengan sewajarnya sudah tentulah pihak pengurus akan mengusirnya dari padang permainan.

Lantaran itulah, dalam sebuah hadis yang lain pula Nabi S.A.W menegaskan bahawa peranan persedekahan dapat memanjangkan usia seseorang sebab keberkatannya. Justeru dia dapat rahmat dari Allah.

Tiada ulasan: