Diceritakan dalam hadis sahih bahawa orang mukmin itu tidak akan dikekalkan oleh Allah Ta'ala ada di neraka dan yang sedemikian itu memang merupakan kerahmatan Allah kepadanya. Jadi jelasnya, apabila ada seorang mukmin mengerjakan sesuatu dosa besar dan belum ditebus dengan hukuman sewaktu dia berada di dunia,baik berupa had, rejam, kifarah dan lain-lain, dan pula tidak pernah melakukan taubat nasuha iaitu merasa amat menyesal dan berniat hendak meninggalkannya untuk selama-lamanya dan pula tidak pernah terkena bahaya atau musibah, baik berupa sakit atau apa saja dianggap tebusan dosa besarnya tadi, pada hal sudah semestinya bahawa orang tersebut pasti akan dihisab oleh Allah Ta'ala segala amal perbuatannya. Jadi Allah akan mengadakan timbangan di mizan terhadap semua amal-amal soleh yang pernah dilakukan oleh orang tadi dan antara semua kemaksiatan-kemaksiatannya yang belum ditaubati. Jikalau kebaikannya lebih banyak, maka sudah tentu masuk ke dalam syurga, demikian pula jikalau antara kebajikan dan keburukannya itu sama, maka Insa Allah orang itu akan memperolehi rahmatNya sehingga semua keburukannya diampunkan olehNya dan akhirnya dapatlah dia masuk syurga. Tentang penimbangan amal itu telah difirmankan oleh Allah s.w.t sebagai berikut:
وَنَضَعُ ٱلۡمَوَٲزِينَ ٱلۡقِسۡطَ لِيَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ فَلَا تُظۡلَمُ نَفۡسٌ۬ شَيۡـًٔ۬اۖ وَإِن ڪَانَ مِثۡقَالَ حَبَّةٍ۬ مِّنۡ خَرۡدَلٍ أَتَيۡنَا بِہَاۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَـٰسِبِينَ
(سُوۡرَةُ الاٴنبیَاء - ٤٧ )
Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung. (47)