04 Mei 2010

TANDA-TANDA KIAMAT

Hudzaifah bin As-Syad Al-Ghifary meriwayatkan sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Rasulullah S.A.W kepada kami lalu bertanya, "Apakah yang kamu sedang bincangkan?" Lalu kami menjawab, "Kami sedang membincangkan tentang hari kiamat." Lalu Baginda menegaskan "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda:
  1. Keluar asap
  2. Keluar Dajjal
  3. Keluar Binatang melata di bumi
  4. Terbit matahari sebelah barat
  5. Turunnya Nabi Isa A.S
  6. Keluar Yakjuj dan Makjuj
  7. Gerhana di Timur
  8. Gerhana di Barat
  9. Gerhana di jazirah Arab
  10. Keluar api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka.
Asap akan memenuhi Timur dan Barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang beriman terkena asap itu, mereka akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.

Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard akan keluar di Kota Mekah dekat gunung Shafa, ia kan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa tongkat nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S. Apabila binatang ini memukul tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi "Ini adalah orang beriman". Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang kafir, maka tertulis "Ini adalah orang kafir". Turunnya Nabi Isa A.S di negeri Syam (Syria) di menara putih, beliau akan membunuh Dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W.

Yakjuj dan Makjuj pula akankeluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan daripadanya kecil dan satu golongan lagi besar. Yakjuj dan Makjuj ini akan berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulkarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangnya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air di laut diminum nescaya tidak akan tinggal walaupun setitik.

Rasulullah S.A.W menegaskan lagi "Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah (umpatan) menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, terdapat ramainya anak-anak zina (luar nikah), orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid-masjid dan para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq".

Berkata Ali bin Abi Talib, "Akan datang dari suatu masa di mana Islam itu akan tinggal nama, agama hanya bentuk sahaja, mereka mendirikan masjid sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut nama Allah. Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnaha dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat".

Rasulullah S.A.W menegaskan lagi "Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya menderhaka ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, orang dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat".

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah S.A.W bersabda: "Di antara tanda-tanda hampir kiamat ialah terhapusnya Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan. (Hdis riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya Rasulullah S.A.W bersabda: "Beberapa hari sebelum munculnya kiamat, ilmu Islam dihapuskan, timbulnya kejahilan dan banyak berlaku jenayah terutama jenayah pembunuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Driwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah S.A.W bersabda: "Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah". Sahabat bertanya: Apakah jenayah yang dimaksudkan? Rasulullah S.A.W menjawab, "iaitu jenayah pembunuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Artikel ini disumbangkan oleh: Ust Hj Abdul Hadi bin Mahmud

Tiada ulasan: