11 April 2010

RUKUN TETANGGA SEBAGAI RENTETAN DARI VITALITI KEJIRANAN


Nukilan: Ust Hj Abd Hadi bin Mahmud

Islam dan akhlak tiada pemisahan. Pada diserapkan sifat-sifat kesabaran, kesetiaan, tolong menolong dalam hal-hal kebajikan, toleransi bertimbangrasa dan lain-lain yang jika dipraktikkan oleh suatu masyarakat, sudah tentu ia akan menjadi contoh bagi model kehidupan yang damai dan sejahtera. Vitaliti kejiranan sangat ditekankan kepada umat yang beriman. Sebenarnya konsep kejiranan menurut perspektif Islam adalah luas meliputi orang-orang yang tinggal serumah dengan kita, orang-orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dan orang-orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah dari rumah kita dalam segala jurusan. Hubungan baik dengan jiran merupakan satu tuntutan iman. Tuntutan ini kalau disempurnakan, akan meningkatkan tahap kesuburan iman kita. Kalau tidak, maka berkuranglah ia serta terhapuslah pula salah satu dari cabangnya. Tegasnya ia merupakan langkah umat dari garis amal soleh sebagai hubungan sesama insan (hablum minannas).

Di dalam Surah An-Nisa' ayat 36, Allah berfirman:
سُوۡرَةُ النِّسَاء
۞ وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنً۬ا وَبِذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن ڪَانَ مُخۡتَالاً۬ فَخُورًا (٣٦)

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. (36)

Di dalam ayat ini telah menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungan terhadap jiran sehingga dikaitkan dengan kewajipan beribadat kepada Allah dan tidak menyekutuiNya, dan tanggungjawab membuat kebaikan kepada ibu bapa. Setengah ahli tafsir mengertikan jiran yang terdekat ialah dari keluarga sendiri dan jiran yang jauh ialah tetangga di sebelah rumah atau di sebelah kebuan yang tiada hubungan kekeluargaan. Sementara sebahagian lagi ahli tafsir mengertikan tetangga yang dekat ialah tetangga yang seagama, tetangga yang jauh ialah yang berlainan agama.

Dalam soal ini Islam menjelaskan kondisinya; Diriwayatkan dari Jabir r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Jiran itu ada 3 macam; Pertama, jiran yang mempunyai satu hak. Kedua, jiran yang mempunyai 2 hak. Ketiaga, jiran yang mempunyai 3 hak". Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran orang-orang musyrik yang tiada sebarang hubungan kecuali hak jiran. Jiran yang mempunyai 2 hak ialah jiran orang-orang Islam iaitu hak Islam dan hak jiran. Manakala jiran yang mempunyai 3 hak ialah jiran seorang Islam yang mempunyai hubungan keluarga. Jiran ini ada hak Islam, hak jiran dan hak keluarga. Justeru itu secara jelasnya pula adalah:

Imam Ghazali menyimpulkan kewajipan kita terhadap jiran sebagai berikut:

  1. Hendaklah seseorang itu memulakan memberi salam kepada jirannya.
  2. Melawatnya ketika sakit.
  3. Menyampaikan takziah apabila ditimpa sebarang kemalangan dan turut sama menanggungnya (mengatasinya).
  4. Mngucapkan tahniah di dalam hal-hal yang menggembirakan dan turut sama menikmatinya.
  5. Memaafkan kesilapannya.
  6. Tidak mengganggu ahli rumahnya.
  7. Tidak menghalang laluan menuju ke rumahnya.
  8. Menutup apa yang tersingkap dari kesalahannya.
  9. Mengawal rumahnya apabila dia berpergian (tiada di rumah).
  10. Jangan mendengar kata-kata yang tidak baik mengenainya (nista).
  11. Berlemah lembut kepada anak-anaknya.
  12. Mengajarnya urusan agama dan dunia yang tidak diketahuinya.
Demikianlah antara kewajipan kita terhadap jiran. Ia memupuk kesegaran sosial. Garisnya bertujuan agar seseorang muslim itu berjiwa bersih, agar hubungan dengan jiran dan manusia umumnya selalu baik. Apabila setiap orang Islam menghayatinya dengan keikhlasan dan kesungguhan, maka akan terjalinlah kesopanan dan kesusilaan. Justeru itulah Islam dengan lantangnya menyuarakan supaya hak-hak jiran dilaksanakan tanpa membeza-bezakan di antara jiran Islam dan bukan Islam. Perannya saling bina membina.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah berjiran dengan orang-orang Yahudi di Madinah. Apa saja hal-hal yang terjadi dalam suasana bertetangga, Rasulullah s.a.w menunjukkan kemuliaan baginda. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Bukhari dari Ibni Omar, bahawa Baginda pernah menyembelih seekor kambing. Baru saja selesai mengulitinya, dia lantas menyuruh khadamnya menghantarkan daging kambing tersebut ke rumah tetangga Yahudinya itu. Kemudian baginda bertanyakan sampai dua tiga kali: "Sudahkah engkau hantarkan daging itu ke rumah tetangga kita Yahudi itu?". Nas-nas Al-Quran sendiri menggesa orang-orang Islam supaya melayani orang-orang yang beragama lain. Jalan ini dituruti oleh pemimpin-pemimpin Islam dan penganut-penganutnya, sesudah wafatnya baginda dan terus diikuti turun-temurun hingga penulis-penulis yang beragama Kristian sendiri memujinya. Firman Allah di dalam Al-Quran:

سُوۡرَةُ المُمتَحنَة
لَّا يَنۡهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَـٰتِلُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ (٨)

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8)

Islam tidak kenal toleransi ke atas sesiapa saja yang melakukan pencerobohan ke atas kedaulatan hak-hak jiran sekalipun orang-orang tersebut melaksanakan kewajipan-kewajipan yang lebih pokok seperti solat dan puasa. Telah disampaikan kepada Rasulullah bahawa ada seorang perempuan berpuasa pada siang hari dan beribadat di waktu malam, tetapi dia terus menyakiti jiran-jirannya. Rasulullah menjawab: "Dia masuk neraka" (Riwayat Ahmad dan Hakim dari Abu Hurairah). Nabi bersabda: "Tidaklah sempurna iman seseorang kepadaKu orang-orang yang tidur malam dengan perut kenyang walhal jirannya sedang menderita kelaparan". Maknanya Islam membina hakikat hidup secara kolektif - bukannya tegakkan ego diri.

Imam Ghazali menegaskan bahawa jiran yang miskin akan berpaut pada leher jirannya yang kaya pada hari kiamat seraya berkata: "Tuhanku! Tanyalah orang ini mengapa dia enggan menolongku dan menutup pintunya kepadaku, ketika perutnya kenyang pada hal aku selalu saja lapar". Dari keterangan-keterangan di atas nyatalah betapa Islam mahu supaya hubungan baik antara orang-orang yang berjiran sentiasa wujud. Jiran merupakan orang-orang yang lebih hampir dengan kita dari orang-orang lain. Apa saja problem yang dihadapi bisanya jiranlah orang yang pertama sekali kita hubungi baik untuk mendapatkan nasihat atau lain-lain pertolongan. Tentang ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Jiran itu lebih berhak kerana dekatnya". Ertinya: Dia lebih berhak daripada orang lain pada segala sesuatu yang berhampiran dengan miliknya. Islam menuntut supaya hubungan baik antara jiran ini terus dipupuk kerana masyarakat jiran yang baik adalah merupakan tiang seri kepada kejayaan cita-cita mewujudkan sebuah masyarakat yang saling hormat menghormati dan bersatu.

Tiada ulasan: